Sabtu, 27 April 2024 - Majlis Perasmian Projek Borneo Pulau Bersejarah telah diadakan di Bangunan Pusat Pengkajian Borneo. Projek ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Sejarah Brunei (PSB) melalui Bahagian Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO) untuk membarigakan hasil pengkajian dan penyelidikan bahan-bahan persejarahan Negara Brunei Darussalam khususnya sejarah Borneo.
Projek ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, selaku Tetamu Kehormat Majlis. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Yang Terutama Dr. Achmad Ubaedillah, Duta Besar Republik Indonesia; Tuan Yang Terutama Dato’ Reza Zaib Shah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia; dan Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan).
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei selaku pengerusi majlis tersebut. Antara objektif Projek “Borneo Pulau Bersejarah” ini adalah bagi menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024.
Selain itu projek ini dilaksanakan juga adalah bagi mendukung PSB sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei. Ia juga diharap akan dapat membantu mengukuhkan silaturahim dan rasa saling hormat-menghormati antara ketiga-tiga buah negara iaitu Negara Brunei Darussalam, Malaysia (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (Kalimantan). Majlis ini juga diselajurkan dengan Pelancaran Galeri Citra Borneo dan Buku Dari Jendela Borneo: Himpunan Kertas Kerja (Siri I) Pusat Pengkajian Borneo (penBORNEO) serta Ceramah Sejarah Borneo Kali ke-12.
Beberapa aktiviti sampingan juga turut dijalankan seperti aktiviti salasilah, aktiviti tulisan jawi, aktiviti kuiz, juadah borneo, jualan buku dan persembahan budaya.
Informasi disediakan oleh Dr. Mardiah