Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Announcements

Program Bicara Sejarah Kali ke-4

Khamis, 29 Julai. - Membincangkan tentang peranan dan fungsi balai sebagai institusi pendidikan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) perlu dilihat melalui sejarah perkembangannya dalam tempoh tahun 1852 hingga tahun 1956 dan meneliti bagaimana pendidikan balai mempunyai hubungan dengan konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

Majoriti sarjana berpendapat bahawa pendidikan Islam dipercayai sudah bermula serentak dengan proses Islamisasi terhadap masyarakat tempatan di alam Melayu, termasuk Brunei dan sehingga kini, tarikh permulaan kedatangan Islam ke Brunei menjadi isu kontroversi dalam kalangan sarjana tempatan mahupun pengkaji luar negeri. 

“Sarjana tempatan berpendapat bahawa Islam sudah berkembang di NBD sekitar Abad Ke-10 hingga Ke-14 Masihi. Manakala sarjana luar pula mengatakan bahawa Brunei hanya menjadi sebuah negara Islam berlaku pada Abad Ke-16 dengan berlandaskan sumber Barat,” jelas Profesor Madya Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail.

Beliau merupakan seorang Profesor Madya di Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa Fakulti Sastera dan Sain Sosial serta Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengetengahkan pembentangan pertama bertajuk ‘Institusi Pendidikan Balai Negara Brunei Darussalam (1852-1956): Penelitian Dari Sudut Sejarah dan MIB’ pada Program Bicara Sejarah: Fungsi dan Peranan Balai-balai di Kampong Ayer, yang diadakan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB), pagi tadi, di sini.


Pada pembentangan tersebut itu juga, beliau turut mengongsikan mengenai pengenalan kedatangan Islam di negara ini yang mungkin sudah tersebar dalam kalangan rakyat Brunei sebelum Awang Alak Betatar (kemudian dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah) memeluk agama Islam pada Tahun Masihi 1368 lagi, namun penyebaran tersebut dikatakan tidaklah begitu berkembang.

“Hanya selepas Awang Alak Betatar menganut agama Islam, maka penyebaran agama itu semakin berkembang dengan pesat di Brunei, diterima oleh rakyat secara beramai-ramai kerana mengikut jejak langkah raja hingga menjelang Abad Ke-16, Brunei menjadi pusat penyebaran Islam selepas kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511,” tambah beliau lagi.

Di samping itu, beliau juga turut mengetengahkan bermulanya pendidikan Islam di negara ini yang dipercayai dilakukan oleh para mubaligh luar yang datang ke Brunei, sama ada dari Arab, Parsi dan India.

Seperti adanya kesan-kesan pengaruh Islam yang kuat melalui hasil tarbiah Sultan Sharif Ali yang kemudian diikuti oleh anakanda Baginda Sultan Sulaiman (1432-1485 Masihi) dan kemudiannya disertai oleh ulama-ulama rantau alam Melayu dan setelah itu disertai oleh ulama-ulama tempatan.

“Aktiviti pendidikan ini berlaku pada mulanya di rumah-rumah persendirian. Namun disebabkan jumlah orang Islam makin bertambah ramai bilangannya, maka kegiatan ini dilakukan di surau-surau, masjid-masjid, dan balai-balai,” jelasnya lagi.

Beliau juga antara lain mengongsikan mengenai balai sebagai institusi pendidikan agama telah dikatakan baru bermula pada tahun 1920-an. Walau bagaimanapun, pandangan tersebut ternyata kurang tepat kerana ia sudah wujud dalam Abad Ke-19 atau mungkin lebih awal daripada itu, justeru, pendidikan balai sebelum abad ini nampaknya masih kurang jelas kerana ketiadaan sumber tuntas yang memperkatakannya. 

Terangnya lagi, manakala bukti adanya pendidikan balai pada akhir Abad Ke-19 pula ialah apabila ulama-ulama Brunei yang hidup dalam tempoh ini sudah mempunyai balai untuk menyampaikan ilmu agama mereka, namun ada pula pengkaji percaya bahawa sistem pendidikan balai diasaskan di Kampung Burung Pingai yang kemudian diikuti oleh kampung-kampung lain, seperti Kampung Peramu, Kampung Sungai Kedayan, Kampung Lorong Sikuna dan Kampung Saba.

Program Bicara Sejarah: Fungsi dan Peranan Balai-balai di Kampong Ayer” adalah salah satu usaha PSB untuk mendekatkan sejarah kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini, terutama sekali kepada para belia dan generasi muda.

Balai di Kampong Ayer merupakan balai yang tertua di negara ini dan mempunyai nilai sejarah yang penting dan melihat kepada sejarah balai di Kampong Ayer pada Abad Ke-19, pendidikan Islam tidak hanya dilakukan di rumah-rumah, surau-surau dan masjid-masjid, malah di balai-balai yang dimiliki oleh ulama dan Pehin-Pehin Manteri Ugama Brunei.

Program
ini bertujuan antara lain untuk membarigakan sejarah awal kewujudan balai-balai di Kampong Ayer kepada orang ramai, terutama para belia dan generasi baharu dengan menyebarluaskan lagi fungsi dan peranan balai itu, selain meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan balai-balai di Kampong Ayer pada waktu dahulu.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan turut sama mendengarkan Program Bicara Sejarah tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari serta pegawai-pegawai dari jabatan-jabatan di bawah KKBS dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain, termasuk dari institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini.

Dalam pada itu, Program Bicara Sejarah ini juga turut dimuatkan dengan pembentangan kedua yang disampaikan oleh Pengarah dan Penolong Kanan Profesor di APB, UBD, Dr. Haji Tassim bin Haji Bakar, yang mengetengahkan kertas kerjanya bertajuk ‘Kampong Ayer: Pusat Pembelajaran Agama Islam Zaman Tradisi Brunei Abad Ke-13 Hingga Awal Abad Ke-19’.

Menurut beliau, Kampong Ayer menjadi pusat penyebaran agama Islam yang berkembang pesat kerana terdapat ramai pendakwah Islam yang menyampaikan pelajaran agama Islam kepada penduduk di persekitarannya, dikuatkan lagi dengan adanya masjid di Brunei pada Abad Ke-16 Masihi seperti menurut catatan pelawat dari Sepanyol, Robert Nicholl.


Ini menunjukkan bahawa di Brunei sebelum 1906 sudah terdapat masjid dan ketika itu terdapat juga pengembang ajaran Islam yang mengajarkan pelajaran agama kepada penduduk yang mendiami Kampong Ayer.

Menurut keterangan sumber tersebut, masjid dan balai memainkan peranan sebagai tempat pembelajaran agama Islam yang dipimpin oleh alim ulama seperti imam, khatib dan mudim yang mempunyai hubungan dengan murid-muridnya.

Justeru, ini memperlihatkan sebelum tahun 1906, tempat pembelajaran agama Islam adalah di masjid-masjid dan di balai-balai.

Terang beliau lagi, masyarakat di Brunei, khususnya di Kampong Ayer menerima pendidikan agama Islam melalui tiga peringkat, iaitu daripada golongan atasan, pertengahan dan bawahan.

Golongan pertama merupakan golongan atasan dalam kalangan pihak istana yang menitikberatkan ajaran-ajaran agama Islam kepada golongan istana, khusus bagi sultan dan kerabat istana.

Golongan kedua merupakan golongan pertengahan, iaitu pembesar-pembesar dalam kalangan pengiran-pengiran yang menyebarkan pengetahuan agama Islam dalam kalangan penduduk Kampong Ayer.


Kedua-dua golongan ini bermastautin di Bandar Brunei, iaitu Kampong Ayer dan kedua-dua golongan ini tinggal berdekatan sesama mereka bagi memudahkan masyarakat Melayu di Kampong Ayer dapat datang belajar tentang ilmu agama Islam, sama ada di balai-balai atau di rumah-rumah persendirian.

Golongan atasan dan pertengahan ini sering menjemput para ulama dan pengembang agama Islam ke istana dan ke rumah-rumah kediaman masing-masing dan kedua-dua golongan atasan dan pertengahan ini banyak membantu masyarakat Melayu di Kampong Ayer, terutama dalam pendidikan agama Islam, seperti mengaji Al-Quran dan mempelajari kitab-kitab agama Islam.

Manakala golongan ketiga adalah golongan bawahan terdiri daripada masyarakat Melayu Kampong Ayer.

Masyarakat Melayu bawahan ini majoritinya daripada penduduk Melayu Kampong Ayer yang bekerja sebagai nelayan dan buruh kepada golongan atasan. Oleh kerana itu, golongan bawahan ini yang ramai mempelajari ilmu agama di istana dan di rumah-rumah pengiran-pengiran di Kampong Ayer.

Selepas golongan bawahan mempelajari ilmu agama, mereka menyebarkan lagi ilmu agama yang dipelajari itu kepada sanak saudara mereka, justeru kerana itu, pengembangan ilmu agama Islam semakin berkembang di kawasan penempatan Kampong Ayer dan pendidikan agama Islam yang diajarkan itu bertujuan untuk membimbing masyarakat Melayu Kampong Ayer mendalami akidah Islam yang sempurna yang berasaskan kepada rukun Islam dan rukun iman.

Antara perkara lain yang turut dikongsikan oleh beliau ialah penerimaan agama Islam masyarakat Kampong Ayer; sistem pembelajaran di balai-balai Kampong Ayer popular sebelum 1906; Tokoh: Dalam sistem pembelajaran di balai-balai Kampong Ayer popular sebelum 1906; tokoh-tokoh ulama lain di Kampong Ayer; kaedah dan kitab pembelajaran; penerimaan masyarakat Kampong Ayer; dekad Abad Ke-19: Penerimaan penduduk Kampong Ayer; Brunei dalam era Sistem Residen 1906; kepentingan sekolah: Melahirkan penduduk Kampong Ayer berilmu; kepentingan balai ibadat; sekolah dan balai ibadat dalam arus pemodenan; dan pertumbuhan pembinaan masjid di Kampong Ayer.

Selain pembentangan, pameran tokoh-tokoh agama pada Abad Ke-20 dan balai-balai di Kampong Ayer juga turut diadakan bagi memeriahkan lagi Program Bicara Sejarah kali ini.


Laporan berita dipetik dari Pelita Brunei
Attachments
Created at 7/31/2021 12:53 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 7/31/2021 12:53 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali