BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 November. - Sebanyak 48 kumpulan, masing-masing terdiri daripada tiga ahli menyertai Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2021, yang bermula dan berakhir di Pusat Sejarah Brunei (PSB), di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad yang juga menyempurnakan Perasmian dan Pelepasan Cabaran Larian Sejarah Brunei 2021.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; dan Pengetua PSB, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong; serta pengarah-pengarah jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada cabaran kali ini, Kumpulan 023 dinobatkan sebagai johan, dengan catatan masa 1 jam 3 minit 46 saat, diikuti naib johan yang disandang oleh Kumpulan 048, dengan catatan masa 1 jam 9 minit 4 saat; dan Kumpulan 035 di tempat ketiga, dengan catatan masa 1 jam 10 minit 5 saat.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan).
Program Cabaran Larian Sejarah Brunei 2021 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan, seperti senamrobik; persembahan akustik; perlawanan Teqball dan Beyblade; pertunjukan koleksi kereta klasik dan basikal antik; serta gerai jualan makanan dan minuman.
Dianjurkan buat kali kedua dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), program tersebut mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada para peserta dan orang ramai pada tahun 2019, diteruskan lagi pada tahun 2021, namun disebabkan pengawalan penularan COVID-19, program tersebut ditangguhkan ke tahun ini.
Antara objektif Cabaran Larian Sejarah Brunei 2021 diadakan ialah bagi menyokong dan mempromosikan Bandar Seri Begawan melalui pendidikan tentang persejarahan monumen serta mercu tanda yang terdapat di negara ini, memandangkan ia mempunyai sejarah dan warisan yang menarik serta unik untuk diperkenalkan.
Di samping itu, program tersebut juga dapat meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan masyarakat, khususnya generasi muda dan belia terhadap kepentingan sejarah serta warisan budaya.