Sumber gambar: Media Permata
Rabu, 7 Ogos 2019 - Pusat Sejarah Brunei telah melancarkan sebuah lagi buku terbitan terbaru tahun 2019 iaitu buku Legasi Payung Negara: Aspirasi, Cita-Cita dan Hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tulisan Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar, Pengetua Pusat Sejarah Brunei.
Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri
menyampaikan ucapan ringkas selaku penulis buku
Majlis pelancaran disempurnakan oleh tetamu kehormat Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang bertempat di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei pagi tadi.
Dalam ucapan alu-aluan, pengerusi majlis Awang Hanafi bin Haji Salleh, Pemangku Timbalan Pengetua berucap penerbitan buku ini merupakan usaha Pusat Sejarah Brunei untuk menambah koleksi bahan rujukan dan bacaan sejarah khususnya biografi mengenai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Tambahnya usaha ini juga dihasratkan untuk menarik minat generasi muda dan belia untuk sama-sama mempelajari dan mengetahui serta mengenang jasa dan menghargai kecemerlangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang 50 tahun pemerintahan baginda.