Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Menyusuri Sejarah Kitani
‚Äč

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Disember. - Pusat Sejarah Brunei (PSB) dengan kerjasama Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) dan Jabatan Muzium-Muzium Brunei, buat julung kalinya menganjurkan Program Menyusuri Sejarah Kitani.
 
Program berkonsepkan pembelajaran, bersantai dan bersilaturahim atau 'knowledge, relaxing and friendship', bertemakan 'Sejarah Kitani Kebanggaan Kitani' itu adalah selaras dengan matlamat penubuhan PSB untuk mendekatkan sejarah kepada masyarakat.
 
Program ke arah melestarikan sejarah dan warisan tanah air tersebut, dikongsikan melalui taklimat sejarah mengenai tempat-tempat bersejarah, disusuli dengan konvoi para peserta menunggang motosikal masing-masing menyusuri ke tempat-tempat bersejarah yang ditentukan oleh pihak penganjur.
 
Program merupakan salah satu kaedah atau pendekatan baharu untuk mendekatkan dan memberi informasi kepada masyarakat di negara ini, khususnya generasi belia, mengenai nilai serta kepentingan sejarah tanah air; dan secara langsung penyerapan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB), dengan menekankan budi bahasa, budi bicara serta budi pekerti kebruneian.
 
Di samping itu, program bertujuan untuk mendorong dan menggalakkan masyarakat di negara ini untuk sama-sama mengamalkan budaya hidup sihat serta riadah melalui aktiviti yang melibatkan fizikal, mental dan kerohanian, selain dijadikan sebagai satu tarikan baharu serta kelainan cara dalam membarigakan sejarah dan kesultanan Brunei dengan lebih menarik, mudah difahami, menyerap minda serta menyeronokkan.
 
Hadir selaku tetamu kehormat, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
 
Pada majlis itu, tetamu kehormat juga menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Yang Dipertua PEMODA, Pengiran Haji Redzuan bin Pengiran Haji Ahmad dan kemudian menerima cenderahati daripada Yang Dipertua PEMODA.
 
Tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan pelepasan konvoi peserta, di kawasan tempat letak kereta PSB.
 
Terdahulu, Pengetua PSB, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong menyampaikan taklimat mengenai tempat-tempat bersejarah di negara ini.
 
Taklimat tersebut bertujuan untuk mendukung Konsep MIB dalam menanam dan menguatkan lagi semangat cinta serta taat setia kepada raja, agama dan bangsa.
 
Ketika ditemu bual, Setiausaha Agung PEMODA, Awangku Muhammad Nazih bin Pengiran Yussof menjelaskan, selain membuka minda dan mengetahui dengan lebih terperinci mengenai sejarah Brunei, program berunsur konvoi itu juga adalah bagi mendedahkan ahli-ahli persatuan, yang terdiri daripada pemilik serta penggemar motosikal berkuasa tinggi di negara ini akan kepentingan dan kesedaran keselamatan bermotosikal yang harus diutamakan oleh semua pihak, dalam sama-sama menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.
 
Menurutnya, konvoi yang disertai seramai 70 Ahli PEMODA itu menyusuri jalan melintasi bangunan dan mercu tanda bersejarah, antaranya Bangunan Dewan Majlis dan Lapau Diraja; Muzium Alat Kebesaran Diraja; Bangunan Hal Ehwal Ugama / Bangunan Madrasah; Masjid Omar 'Ali Saifuddien; Gerbang Perpuspaan 1968; Mercu Dirgahayu 60; Bangunan Sekretariat; dan Tugu Jam.
 
''Destinasi terakhir kami ialah Informasi Taman Arkeologi Kota Batu, di mana kami juga dibawa melawat ke Makam Sultan Bolkiah dan Pulau Tarindak.
 
"Terdapat sebilangan ahli yang baru pernah melawat tempat-tempat tersebut dan mereka begitu kagum mengetahui sejarah-sejarah lama yang terdapat di negara kita,'' ujarnya.

Sumber artikel: Pelita Brunei
Attachments
Created at 12/28/2022 10:38 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 12/28/2022 10:38 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali