Sabtu, 14 September 2024 - Pusat Sejarah Brunei dan Jawatankuasa Penyuntingan buku The Journey from Subok: Recollections of Brunei Darussalam’s Diplomats telah mengadakan Majlis Pelancaran Buku The Journey from Subok: Recollections of Brunei Darussalam’s Diplomats pagi tadi bertempat Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, bersempena memperingati 40 tahun penubuhan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (1984-2024).
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis iaitu Yang Mulia Pengiran Datin Paduka Shazainah binti Pengiran Dato Paduka Shariffuddin, Setiausaha Tetap (Perancang Dasar), Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri. Turut hadir Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, Pengetua Pusat Sejarah Brunei. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Pengerusi Jawatankuasa Penyuntingan.
Penerbitan buku ini adalah sebagai satu penghargaan dan penghormatan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas lantikan para penulis sebagai Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke negara-negara asing.
Seramai sebelas (11) orang penulis yang merupakan mantan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke negara-negara asing telah menukilkan pengalaman dan ketekunan para penulis dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah sepanjang menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke negara-negara asing dalam buku berkenaan. Buku ini diharap dapat menjadi rujukan dan panduan generasi penerus masa kini dan akan datang.
Buku berkenaan dijual dengan harga BND30.00 senaskhah.