Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Pusat Sejarah Brunei Sertai International Day of Islamic Art


Selasa, 24 November 2020 - Pameran dan Bengkel Kaligrafi Islam kali ini memfokuskan kepada gabungan kaligrafi Islam dan lukisan ilustrasi kontemporari bertujuan untuk mengasah bakat dan mempertingkatkan kreativiti dan kualiti karya kesenian Islam yang dihasilkan oleh masyarakat tempatan.

Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari menjelaskan, para artis akan didedahkan dengan kaligrafi Islam, manakala para penulis khat jawi akan didedahkan dengan seni lukis kontemporari.

"Alhamdulillah, gabungan antara penggiat seni kaligrafi dan seni lukis akan memantapkan lagi dukungan terhadap kemajuan seni, terutama kesenian Islam di negara ini serta akan dapat mengangkat kesenian dan warisan Islam terhadap pemeliharaan dan penyebaran ketamadunan Islam," ujarnya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Pameran dan Bengkel Seni Khat dan Lukisan Kesenian Islam dan Aktiviti sempena Sambutan Hari Antarabangsa Kesenian Islam.
Sambutan International Islamic Art Day, katanya, satu inisiatif ke arah melaksanakan 'The Resolution of the General Conference of the United Nations Education, Scientific and Cultural Organization (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu - UNESCO)'.

Berucap pada majlis di Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam (PPKKI), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Dayang Hajah Nor Ashikin menambah, Resolusi Proklamasi 'International Day of Islamic Art' telah diadaptasi semasa persidangan 'The 40th Session of the General Conference 2020'.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis tersebut juga mengambil sukut pengisytiharan Bandar Seri Begawan (BSB) sebagai Ibu Negara Ketamadunan Islam bagi Rantau Asia Tahun 2019 dan diadakan bagi meraikan seni budaya Islam serta memperlihatkan budaya dan nilai-nilai kehidupan seharian yang berlandaskan kepada Falsafah Melayu Islam Beraja yang kekal diamalkan lebih dari 600 tahun dahulu.

Sehingga hari ini, agama Islam di negara ini berkembang dari pelbagai aspek, seperti pendidikan, sosial, perundangan, ekonomi, kesenian dan pentadbiran.

Pelbagai projek dan kegiatan diadakan bersempena dengan Sambutan Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam Bagi Rantau Asia Tahun 2019, yang dianjurkan dengan inisiatif dan pendekatan Whole of Nation Approach melibatkan pihak-pihak yang terlibat, seperti kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan, pihak swasta, persatuan-persatuan dan individu dalam sama-sama menjayakan sambutan berkenaan.

Projek dan kegiatan yang dilaksanakan secara tidak langsung meningkatkan kesedaran dan penghayatan orang ramai dan masyarakat mengenai Islam dan ketamadunan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Pengiktirafan tersebut merupakan satu penghormatan yang amat tinggi nilainya bagi BSB dan merupakan satu mercu tanda penting yang bersejarah bagi NBD secara amnya.

Sebagai usaha dalam memanfaatkan lagi pengiktirafan Bandar Seri Begawan Ibu Negara Ketamadunan Islam Bagi Rantau Asia Tahun 2019, selaras dengan objektif Sambutan International Islamic Art Day, khususnya dalam menggalakkan penghargaan terhadap ekspresi seni Islam (dahulu dan kontemporari) dan menghargai kepelbagaian, Pameran dan Bengkel Kaligrafi Islam ini mengetengahkan seni khat yang merupakan khazanah dunia tertua yang dimiliki oleh umat Islam yang berperanan mengabadikan Al-Quran dalam bentuk tulisan.

Sementara itu, PPKKI YSHHB dipilih sebagai tempat bagi menganjurkan Pameran dan Bengkel Seni Khat dan Lukisan Kesenian Islam dan Aktiviti Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Kesenian Islam, kerana ia adalah bersesuaian dengan peranan pusat tersebut sebagai sebuah institusi pengajian yang menawarkan program pengajian dan memberikan perkhidmatan dalam mengembangkan pelbagai pengetahuan, kecekapan dan kemahiran seni Islam ke arah memartabatkan tulisan jawi, khususnya seni kaligrafi Islam.

Pusat itu juga menyediakan Galeri Kaligrafi dan Kesenian Islam di NBD yang bukan sahaja menyediakan ruang pameran, malah menyediakan pelbagai program dan aktiviti, khusus dalam bidang karya seni khat yang boleh disertai oleh para pengunjung.

Salah satu ruang galeri pusat tersebut mempamerkan koleksi kaligrafi terkenal antarabangsa dan lukisan dari luar negara seperti Turki, China, Indonesia dan Malaysia serta juga hasil karya kaligrafi terbaik dalam negara.

UNESCO mengisytiharkan 18 November sebagai International Day of Islamic Art, untuk disambut pada setiap tahun, dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai aspek seni Islam.

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta Besar dan wakil Duta Besar Luar Negara di NBD serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Petikan laporan: Pelita Brunei.

Lebih banyak gambar di sini.
Attachments
Created at 11/25/2020 9:41 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali
Last modified at 11/25/2020 9:47 AM by Elbi Saiful Razaimie Mohd Ali